Brunei mula berpuasa Selasa

Johar membuat pengumuman secara langsung di kaca televisyen sebentar tadi.
Johar membuat pengumuman secara langsung di kaca televisyen sebentar tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Brunei Darussalam akan menyambut kedatangan Ramadan pada hari Selasa seperti yang diumumkan secara langsung di kaca televisyen negara berkenaan hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Johar Muhammad selepas mendapat perkenan Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah.

"Rombongan yang ditugaskan untuk melihat anak bulan Ramadan pada tahun 1440 Hijrah, terdiri daripada Hakim Syarie, Pegawai-Pegawai Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri, bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Agama, Jabatan Ukur Kementerian Pembangunan, Jabatan Mufti Kerajaan dan pegawai dari Jabatan Perdana Menteri di beberapa tempat di negara ini pada petang tadi telah tidak melihat anak bulan Ramadan.

"Yang berhormat Ketua Hakim Syarie telah mensabitkan dan mengesahkan bahawa anak bulan Ramadan itu tidak kelihatan. Maka berdasarkan hukum syarak, disebabkan anak bulan Ramadan tidak kelihatan, bulan Syaban 1440 Hijrah wajiblah digenapkan kepada 30 hari.

"Oleh yang demikian, maka awal bulan Ramadan jatuh pada hari Selasa bersamaan 7 Mei 2019," demikian ucapan Johar hari ini.

Di Malaysia, umat Islam akan mula berpuasa esok seperti yang diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad.

Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari itu menurut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Selain Malaysia, Indonesia dan Singapura turut menyambut kedatangan Ramadan esok.

Artikel Berkaitan: