Isu 3R tidak boleh lari daripada dipolitikkan - Wan Ahmad Fayhsal

Dari kiri; Amira Aisya, Wan Ahmad Fayhsal dan Mohd Imran ketika sesi dialog Lensa Politik Belia di Universiti Utara Malaysia pada Khamis.
Dari kiri; Amira Aisya, Wan Ahmad Fayhsal dan Mohd Imran ketika sesi dialog Lensa Politik Belia di Universiti Utara Malaysia pada Khamis.
A
A
A

KUBANG PASU - Rakyat Malaysia tidak boleh lari daripada mempolitikkan isu 3R (kaum, agama dan royalti), kata Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menurutnya, adalah mustahil untuk menyingkirkan naratif identiti daripada politik kerana ia sudah sebati dalam masyarakat negara.

Katanya, ia berkaitan emosi dan sama ada suka atau tidak, politik jati diri akan sentiasa ada.

"Jadi kita tidak boleh memperkecilkan politik sebegini kerana ia adalah sebahagian daripada fabrik sosial kita. Namun, kita tidak boleh melampau menjadi seperti Taliban atau melabel orang lain sebagai kafir," katanya ketika sesi dialog Lensa Politik Belia di Universiti Utara Malaysia di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Presiden Parti Ikatan Demoraktik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan bahawa sebaik sahaja ahli politik dipilih menjadi kerajaan, sebarang bentuk ekstremisme politik akan lenyap.

"Sebagai ahli politik, saya percaya tidak kira parti politik, apabila mereka membentuk kerajaan, walaupun sebelum ini melampau, mereka akan kembali semula.

"Kerana apabila anda menjadi sebahagian daripada kerajaan, anda berkhidmat kepada semua orang, bukan hanya parti politik anda sendiri. Sama ada Pas, Bersatu, atau DAP, penjawat awam tidak akan sekali-kali menyokong ekstremisme dalam tadbir urus," katanya.

Bagaimanapun, Amira Aisya menyangkal dakwaan Wan Ahmad Fayhsal dan menekankan bahawa politik berasaskan identiti sentiasa memihak kepada golongan elit.

"Dasar berasaskan etnik tidak pernah membantu masyarakat (Melayu B40). Pada pendapat saya, dasar ini hanya menguntungkan golongan elit.

"Wan Ahmad Fayhsal mungkin bercakap tentang perubahan, tetapi saya tidak nampak apa-apa perubahan berlaku mengikut arus pemimpin yang mereka ada," katanya.

Ujarnya, sudah tiba masanya untuk beralih daripada politik berasaskan perkauman dan agama.

"Sebab itu penting untuk mempunyai golongan muda dalam politik yang mahu membawa perubahan," tambahnya.

Sementara itu, Mohd Imran menambah bahawa perubahan kepada landskap politik negara adalah mungkin, kerana negara telah melihat perkembangan demokrasi.

"Sedikit demi sedikit, kita boleh berubah kerana kita sudah mencapai kemajuan seperti itu.

"Kalau dulu kalau salah cakap, masuk lokap dan macam-macam lagi. Sekarang ada perpaduan ini (kerajaan), tapi kami masih mempunyai lebih banyak perkara untuk diperbaiki," katanya.