Pas jangka senarai calon dimuktamad dalam satu atau dua minggu

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

KOTA BHARU - Pas menjangkakan senarai akhir calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos nanti, dimuktamadkan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Majlis Syura Ulama Pas akan mengadakan mesyuarat minggu ini bagi membuat tapisan terakhir senarai calon yang sudah diperolehi daripada enam negeri terlibat PRN nanti.

Beliau berkata, Majlis Syura Ulama Pas akan meneliti senarai calon dari segi kelayakan syarie seperti bukan pelaku dosa besar, bukan merosakkan nama parti, dan memastikan mereka adalah ‘orang yang mampu melaksanakan tanggungjawab dan amanah kalau ditakdirkan dipilih’.

"Kita minta setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) hantar sekurang-kurangnya dua nama, tetapi ada yang hantar tiga, empat malah lima nama,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) Parlimen Kubang Kerian, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, senarai calon yang melepasi tapisan berkenaan kemudiannya akan dihantar ke Jawatankuasa PAS Pusat sebelum dipanjangkan kepada Presiden parti dan pimpinan PAS negeri untuk keputusan akhir.

Sementara itu, beliau turut menolak satu maklumat ditularkan media sosial mengenai senarai yang dikatakan calon Pas pada PRN nanti, dan menegaskan bahawa ia adalah maklumat palsu. - Bernama