KKD peruntuk RM3.9 bilion untuk projek PoP Fasa 2- Fahmi

Fahmi - Foto Bernama
Fahmi - Foto Bernama
A
A
A

REMBAU - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memperuntukkan sebanyak RM3.9 bilion bagi meneruskan pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) Fasa 2, melibatkan 3,693 tapak PoP di lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan fasa satu bagi projek berkenaan melibatkan 630 lokasi dijangka selesai hujung tahun ini, manakala fasa dua projek itu yang telah pun dimulakan Disember tahun lepas dijangka memanfaatkan sekurang-kurangnya 432,300 premis yang akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila ia siap kelak.

"Sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi itu akan dapat meningkatkan proses pembelajaran di sekolah dengan lebih efektif melalui capaian kepada maklumat dan sumber rujukan yang luas dan membolehkan ilmu pengetahuan lebih mudah dikongsi dan dipraktikkan.

"Ia juga memberi peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan ekonomi berasaskan ekonomi digital di luar bandar dan mereka boleh menjalankan pelbagai urusan termasuk perniagaan di rumah secara dalam talian menerusi capaian rangkaian Internet yang lebih berkualiti dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan PoP Zon Selatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Undang Haji Adnan pada Khamis.