Kerajaan tidak keberatan KWSP laksana pengeluaran bulanan

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan tidak keberatan mengenai cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjadikan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun yang ketika ini adalah secara sukarela kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan berkenaan masih di peringkat akhir selain melihat beberapa kekangan termasuk jumlah baki simpanan semasa pencarum.

"Itu masih di peringkat akhir. Saya tiada keberatan, (namun) Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (Ketua Pegawai Eksekutif KWSP) kata ada beberapa kekangan terutama di kalangan (pencarum) yang mempunyai simpanan kecil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023) pada Khamis.

Sebelum ini Amir Hamzah memaklumkan, KWSP sedang mempertimbang untuk menjadikan pengeluaran secara berkala atau bulanan bagi pencarum yang mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori untuk ahli baharu.

Ketika ini, pengeluaran secara berkala atau bulanan itu dilakukan secara sukarela.

Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan turut melancarkan versi baharu Aplikasi i-Akaun KWSP, yang menggabungkan ciri-ciri inovatif dan interaktif untuk meningkatkan pengalaman pengguna.

Platform yang dinaik taraf itu menyediakan pelbagai fungsi baharu bagi ahli melaksanakan transaksi berkaitan KWSP termasuk kalkulator simpanan persaraan untuk membantu pencarum menilai kecukupan simpanan apabila bersara kelak.

Sementara itu mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang membatalkan pindaan terhadap Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013, Anwar berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan kaedah lain untuk melindungi hak pesara.

"Kita perlu menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan akan ada mekanisme untuk melindungi pesara. Kita akan umumkan (kaedah) itu dalam masa terdekat," jelasnya.

Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan terhadap Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 kurang memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam sekali gus mengisytiharkannya sebagai terbatal dan tidak sah.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara turut memutuskan peruntukan berkenaan yang membenarkan kenaikan kadar rata sebanyak dua peratus setiap tahun, bercanggah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan (perlindungan hak pencen) berbanding Akta Pelarasan Pencen 1980 sebelum ini.