Tiada parti boleh tadbir negara sendirian: Guan Eng

Lim Guan Eng menyampaikan ucapan dasar sempena Pembukaan Persidangan DAP 2019 di Pusat Konvensyen IDCC hari ini. -Foto Bernama
Lim Guan Eng menyampaikan ucapan dasar sempena Pembukaan Persidangan DAP 2019 di Pusat Konvensyen IDCC hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - DAP menyatakan tiada parti boleh mentadbir negara secara bersendirian melainkan melalui gabungan dengan rakan sekutu yang bertanggungjawab.

Disebabkan itu kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, hasrat parti itu menjadi rakan kongsi kuasa dengan tiga parti lain iaitu PKR, Amanah dan Bersatu menerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum memenangi pilihan raya lepas bukan demi kuasa mahupun wang, tetapi demi Malaysia yang lebih baik.

"(Sebelum ini) Kita telah berjaya membuktikan di Pulau Pinang dan Selangor bahawa dengan gabungan politik, kita boleh mentadbir lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN). Tetapi bolehkah kita meyakinkan rakyat Malaysia (pada pilihan raya lepas)?

"Namun tanggal 9 Mei 2018, berhadapan segala kemustahilan, jutaan rakyat Malaysia bersatu menentang BN dan mengundi untuk perubahan," katanya semasa berucap pada Persidangan DAP 2019, di sini hari ini.

Persidangan berkenaan merupakan perhimpunan pertama perwakilan kebangsaan parti tersebut sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 di mana seramai 969 perwakilan dan 188 pemerhati menghadirinya. Guan Eng turut mengingatkan ahli DAP supaya tidak terbuai kuasa yang ada kerana pada masa ini, banyak kerja yang perlu diselesaikan oleh PH termasuk janji pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lepas.

Katanya, konsep 'Malaysia Baharu' perlu meyakinkan semua rakyat bahawa masa depan politik, ekonomi, dan kebudayaan negara ini semua adalah terjamin selain perlu membuang persepsi yang menganggap wujud dominasi kaum tertentu, iaitu satu pembohongan yang hanya menguntungkan mereka yang bermain dengan politik perkauman.

"Malaysia Baharu perlu mempunyai satu wawasan utama yang praktikal bagi membimbing semua rakyat Malaysia ke arah masa hadapan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media, ketika ditanya mengenai dasar negara berasaskan kaum, Guan Eng berkata ia dimulakan oleh Barisan Nasional (BN) dan bukan sesuatu yang dimulakan oleh PH.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata ketika ini, dasar itu diteruskan namun kerajaan PH akan pastikan tiada kaum tertentu akan ketinggalan malah percaya,masyarakat Melayu juga akan menerima dasar yang membantu orang miskin dan kurang berkemampuan.

"Sebagai contoh sebahagian besar kelompok B40 terdiri daripada orang Melayu tetapi ada juga orang Cina dan India yang miskin. Dasar berasaskan keperluan, bagi mereka yang miskin, kita perlu bantu. Perkara ini tidak dilakukan oleh kerajaan sebelum ini," katanya. -Bernama