Sanusi nasihat Saifuddin, 'main politik sikit-sikit sudah'

Muhammad Sanusi (kiri) dan Saifuddin (kanan).
Muhammad Sanusi (kiri) dan Saifuddin (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dinasihatkan agar tidak terlalu asyik bermain politik sehingga dibimbangi menjejaskan tugas hakikinya dalam kerajaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tugas Saifuddin sebagai menteri dan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah harus diberikan keutamaan berbanding kempen pilihan raya.

Menurutnya, agensi bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai peranan penting dalam memastikan aspek keselamatan negara terjamin dan memerlukan seorang menteri yang memberikan sepenuh perhatian dalam tugasnya.

“Saya tak tahu bila dia buat kerja menteri, saya nasihatkan dia fokus kepada agensi bawah KDN kerana kementerian ini sangat berkuasa.

"Ada isu Jabatan Pendaftaran, kes 1.2 juta pelancong China tak balik, menteri ganggu-gugat tugas penjawat awam dan pelbagai lagi.

“Saya rasa tugas hakiki dia sangat banyak sebagai Menteri KDN. Kalau nak berkempen tak apalah datang malam-malam atau hari cuti. Hari bekerja buatlah kerja hakiki,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) memaklumkan akan memberi fokus besar kepada Kedah dalam pilihan raya negeri (PRN) selain mengetuai misi untuk merampas Kedah.

“Saya mengalu-alukan dia (Saifuddin) mai (rampas Kedah). Dia Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, saya pula pengerusi bersama tetapi sekalipun tak pernah buat mesyuarat lagi.

“Itulah kalau fokus banyak sangat politik, isu 23 projek di Kampung Iboi pun kalau mesyuarat diadakan tentu projek akan berjalan sebab perkara itu akan diperincikan dalam mesyuarat, tetapi dia main politik saja, kerja tak jalan. Nasihat saya main politik sikit-sikit sudah, nak dengar tak dengar punya pasal, ” katanya.

Mengulas dakwaan Saifuddin kononnya kerajaan negeri ditipu oleh sebuah syarikat berkaitan projek mega di Langkawi, Muhammad Sanusi tegaskan, isu berkenaan sudah dijelaskan berulang-kali dan dilaksanakan oleh pihak swasta, bukannya projek kerajaan negeri.

"Pelaburan Widad Langkasuka di kawasan seluas 768 hektar di Langkawi adalah projek swasta, tugas kerajaan negeri meluluskan permohonan tanah dan syarikat itu kemudiannya bayar premium, yuran komitmen serta cukai tanah. Apa berlaku selepas itu urusan syarikat tersebut,” ujarnya.

Menurutnya lagi, syarikat tersebut berstatus ‘listed company’ dan berpangkalan di Kuala Lumpur, bukannya milik kerajaan negeri.

“Ketika mereka mohon tanah, kita tengok rancangan pelaburan mereka dan kerajaan negeri yakin kemampuan syarikat tersebut, kita bagi syarat kena bayar premium itu.

"Kerajaan negeri tak tanggung apa-apa kerugian, sebaliknya kita dapat pendapatan kerana syarikat itu setiap tahun bayar cukai tanah,” ujarnya.

Muhammad Sanusi memaklumkan, syarikat berkenaan turut mengumumkan jumlah pelaburan RM40 bilion dalam tempoh 15 tahun.

“Dalam tempoh 15 tahun, mereka akan bangunkan projek tersebut, itu urusan dia. Kenapa pertikai pelaburan swasta yang masih dalam proses?

“Untuk projek mega, nak dapat Kelulusan Merancang (KM) pun lama, seingat saya awal tahun ini baru diberikan kelulusan untuk fasa satu, difahamkan sekitar RM4 bilion bagi membina padang golf dan perumahan,” jelasnya.

Menurutnya, penjelasan itu dibuat bagi memperbetulkan naratif salah yang dimainkan Saifuddin sebagai kempen PRN.