Kenyataan Tun M tidak berasas dari segi undang-undang - Ramkarpal

Ramkarpal Singh - Foto Bernama
Ramkarpal Singh - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas dari segi undang-undang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ramkarpal Singh.

Timbalan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Undang-undang dan Reformasi Institusi itu berkata Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 23 tahun, tidak pernah mempertikaikan status Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan kaum dalam tempoh tersebut, malah telah mengiktiraf perkara berkenaan.

"Tambahan pula, sebagai seorang bekas Perdana Menteri selama lebih dua dekad, sudah tentunya Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempunyai akses kepada nasihat guaman melalui Peguam Negara dan oleh yang demikian, sedar akan kedudukan undang-undang berkenaan perkara ini.

"Sebagai seorang negarawan yang berpengalaman, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya sedar akan betapa pentingnya frasa ‘unity in diversity should be our strength and not our shame’ (perpaduan dalam kepelbagaian harus menjadi kekuatan kita dan bukan keaiban kita) di Malaysia seperti mana dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali (Tan Sri) di dalam kes Indira Gandhi dan mengambil iktibar daripada frasa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengenai dakwaan Dr Mahathir terdapat desakan Malaysia tidak lagi dikenali sebagai negara Islam, Ramkarpal berkata, kedudukan agama Islam di Malaysia sebagai agama rasmi Persekutuan tidak pernah dipertikaikan seperti yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Malah katanya, Mahkamah Persekutuan dalam kes Dhinesh Tanaphll lawan Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors pada 2022 telah menyatakan bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan berhubung agama merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipinda oleh Parlimen melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, sebarang pindaan sedemikian yang mempunyai kesan mengubah struktur asas Perlembagaan negara adalah tidak berperlembagaan.

"Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan bahawa agama selain agama Islam juga boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ini bermakna, kewujudan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan membuktikan bahawa Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama,” katanya.

Selain itu, Ramkarpal berkata, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan melarang sebarang diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina; dan Perkara 11 turut memberikan seorang hak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya.

"Kesemua peruntukan Perlembagaan Persekutuan di atas, setelah dibaca bersama, mencerminkan pengiktirafan bahawa Malaysia merupakan satu negara yang berbilang kaum, budaya dan agama,” katanya. - Bernama.