[VIDEO] UMNO sedia tarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan

Lokman Adam ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar siri 404 bertajuk 'Adakah Bom Jangka Kedua' yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian, pada Selasa. - Foto Sinar Harian/ Asril Aswandi Shukor

A
A
A

SHAH ALAM - UMNO bersedia untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan sekiranya terdapat pihak yang berani mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi, keistimewaan raja-raja Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, tidak mustahil perkara itu boleh berlaku dalam Kerajaan perpaduan kerana sebelum ini UMNO pernah menarik sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, selagi Barisan Nasional (BN) berada dalam Kerajaan Perpaduan perkara-perkara tersebut akan dijaga.

"Tun Dr Mahathir, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin tidak boleh kawal DAP tapi yakinlah dengan BN, kita boleh kawal Gerakan dari sebuah parti yang ekstrem pada suatu ketika dahulu.

"Jadi saya minta kepada rakan-rakan yang takut DAP kuasai kita, setakat ini alhamdulillah selagi BN berada dalam kerajaan, kami akan pastikan ia tidak berlaku. Lagipun mereka sudah beri jaminan akur dengan Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar siri 404 bertajuk 'Adakah Bom Jangka Kedua' yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian, pada Selasa.

Selain Lokman Adam (dua dari kiri), Wacana Sinar siri 404 bertajuk 'Adakah Bom Jangka Kedua' turut menampilkan Tun Faizal (tengah); Muhamad Arafat (dua dari kanan) dan Che'gubard (kanan) sebagai panelis. - Foto Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

Turut menjadi panel ialah Naib Pengerusi PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad; Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz serta Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che'gubard.

Beliau turut mendedahkan, kegagalan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disebabkan sabotaj daripada 'orang dalam'.

"Mereka ini adalah Annuar Musa, Tun Faizal dan juga bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri yang berkomplot melengah-lengahkan pilihanraya pada ketika itu.

"Kita sudah menang di Johor dan Melaka selain pembangkang juga berada dalam keadaan kucar kacir, sepatutnya terus buat pilihanraya. Saya yakin BN akan menang dan mampu membentuk kerajaan secara persendirian," ujarnya.