Meta, SKMM,PDRM bendung jenayah dalam talian

Fahmi (tengah) dan Nie Ching (kiri) semasa bermesyuarat bersama pihak Meta, PDRM dan SKMM, pada Selasa.
Fahmi (tengah) dan Nie Ching (kiri) semasa bermesyuarat bersama pihak Meta, PDRM dan SKMM, pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bekerjasama dengan Meta, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membendung jenayah dalam talian.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu susulan peningkatan kes penipuan, antaranya judi dalam talian dan isu penghinaan terhadap agama, kaum serta institusi diraja (3R).

“Kerugian yang ditanggung rakyat Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mei 2023 menerusi platform Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp) mencecah hampir RM330 juta.

“Jumlah ini meningkat 25 peratus berbanding Januari hingga Disember 2022,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.

Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan pengurusan tertinggi PDRM serta Timbalan Menteri KKD, Teo Nie Ching.

Menurut beliau, hasil pertemuan itu, pihak Meta, SKMM dan PDRM menyatakan komitmen dalam membantu kerajaan menangani isu jenayah dalam talian yang semakin meningkat.

Ujar Fahmi, tindakan proaktif dengan semua pihak mampu menjaga keselamatan pengguna siber di negara ini.

“Alhamdulillah hasil pertemuan hari ini pihak Meta menyatakan komitmen dan kesediaan bekerjasama erat dengan SKMM serta PDRM untuk membendung jenayah dalam talian.

“Saya percaya dengan kerjasama ini, jenayah scam, judi dalam talian dan isu 3R di platform Meta akan dapat dikurangkan,” katanya.