PRN: Polis Kelantan, SPR, Pengurus Pilihan Raya bermesyuarat

Muhamad Zaki
Muhamad Zaki
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan akan mengadakan mesyuarat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pengurus Pilihan Raya sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pertemuan itu bagi melancarkan lagi gerak kerja penugasan sepanjang PRN nanti.

"Sebelum ini kita sudah mengadakan pertemuan dari masa ke masa dengan pihak SPR. Daripada maklumat yang diperoleh itu, kita akan memperkemaskan lagi gerak kerja.

"Kita tidak mahu berlaku pertindihan tugas, sebaliknya mahu ia berjalan dengan harmoni mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.

Menurut beliau, pengalaman semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu turut dijadikan sebagai panduan dalam memperbaiki kelemahan menjelang PRN nanti.

Ujarnya, pada masa yang sama Polis Kelantan akan menggunakan segala kekuatan termasuk pasukan sukarelawan polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk bertugas pada PRN.