PRN: PH boleh terus berangan - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

LANGKAWI - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan Pakatan Harapan (PH) sekadar berangan-angan untuk merampas Kedah melalui peralihan undi 10 peratus daripada Perikanan Nasional (PN) kepada gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, peralihan undi sebanyak 10 peratus yang diimpikan PH itu sukar berlaku dalam politik, khususnya apabila mengambil kira corak sokongan di Kedah.

“Perubahan pengundi Melayu susah berlaku, khususnya babitkan pengundi Melayu yang masih mahu bersama PN.

“Tak apalah, (PH) boleh teruskan berangan-angan," katanya pada sidang akhbar selepas majlis makan malam sempena penilaian Langkawi UNESCO Global Geopark di sini, pada Isnin.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah itu berkata, sokongan pengundi ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menunjukkan PN menjadi pilihan apabila berjaya membolot 14 daripada 15 kerusi Parlimen yang ditandingi.

“Saya percaya gelombang itu masih kekal hingga PRN. Sukar mahu ubah sokongan pengundi PN kepada parti atau gabungan lain di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang yakin gabungan itu mampu merampas Kedah dari PN, sekiranya berlaku peralihan 10 peratus undi.

DUN Kedah dibubarkan pada 28 Jun dan PRN di enam negeri dijangka diadakan awal Ogos.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN dengan komposisi terkini menyaksikan PN memiliki 20 kerusi, iaitu Pas sebanyak 14 kerusi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) enam kerusi.

PH memiliki 10 kerusi yang menggabungkan PKR sebanyak lima kerusi, Amanah dengan tiga kerusi dan DAP (dua) manakala BN dan Pejuang masing-masing beroleh dua kerusi.

Dua kerusi kosong, iaitu Gurun berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul melepaskan jawatannya, sementara DUN Belantek kosong disebabkan kematian ADUN, Datuk Mohd Isa Shafie pada 14 Jun lepas.