JPN tak pernah lantik ejen, orang tengah untuk berurusan

Zamri
Zamri
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengingatkan orang ramai bahawa tiada ejen atau orang tengah yang dilantik bagi sebarang urusan di jabatan itu.

Ketua Pengarah JPN, Zamri Misman turut menegaskan mana-mana pihak supaya tidak mudah percaya sebarang tawaran perkhidmatan daripada pihak tidak bertanggungjawab dengan mengenakan sebarang bayaran.

Menurutnya, maklumat mengenai prosedur permohonan dan bayaran-bayaran yang dikenakan boleh dirujuk di portal rasmi JPN atau boleh hadir ke mana-mana 212 pejabat JPN untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan.

"JPN kekal komited menangani gejala rasuah di peringkat jabatan dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur pengeluaran dokumen-dokumen pengenalan diri secara berterusan.

"JPN juga mengadakan pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan bagi memastikan tiada sebarang ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Zamri, adalah menjadi prinsip JPN yang sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang amalan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan kakitangan jabatan ini.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) iaitu JPN dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang disiasat pihak berkuasa susulan wujudnya dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerima menerima maklumat wujudnya unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warganegara dengan bayaran tertentu.