PRU15 bukti kebangkitan anak muda tegak Islam - Hadi Awang

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukti kebangkitan semangat anak muda yang mahu menegakkan Islam tanpa terpengaruh dengan ‘gelombang’ membinasakan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, semangat itu lebih kuat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang apabila golongan berkenaan sama sekali tidak tertarik kepada pemimpin terjun padang untuk menarik dan menyanyi bagi 'menggoda' mereka.

“Perkara itu mengatasi orang tua sibuk dengan urusan hidup tanpa memahami bahaya kelekaannya, sehingga ditenggelamkan oleh gelombang yang membinasakan.

“Barangkali yang mabuk dadah dan syabu sahaja boleh bernafsu tanpa mengira tua dan muda,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook, pada Selasa.

Ahli Parlimen Marang itu turut membangkitkan persoalan sama ada perilaku umat akhir zaman kini seperti kaum Nuh AS, sehingga ditenggelamkan oleh taufan dahsyat atau kaum Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang disesatkan selama 40 tahun.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, seteruk mana pun umat akhir zaman, ALLAH SWT tidak akan menurunkan dugaan seberat itu, namun cukup sekadar menjadi kalangan pengundi saluran satu yang tidak berubah, sehingga negara ditenggelamkan atau dia ditimbus ke dalam kubur.

Sehubungan itu, Abdul Hadi memberitahu, ibu bapa dan pendidik memainkan peranan penting dalam perubahan anak muda secara menyeluruh dan sempurna.

“Mereka (ibu bapa dan pendidik) amat diperlukan untuk membentuk anak yang bertenaga menongkah cabaran bagi melakar kemenangan yang bertenaga.

“Begitu juga, menjadi pelapis yang tidak mematikan perjuangan kebaikan dan kebahagiaan yang berwawasan dunia serta akhirat,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa Islam tetap dipelihara ALLAH SWT seperti dahulu oleh generasi muda atau kaum lain yang menganut atau menukar bangsanya.

Menurut Abdul Hadi, slogan yang sering disebut sebagai kata-kata Hang Tuah iaitu tidak akan Melayu hilang di dunia merupakan ciptaan penjajah yang dijaja sewaktu di zaman persekolahannya.

Bagaimanapun, beliau menerangkan hal tersebut tidak boleh melawan amaran ALLAH SWT menerusi surah al- A’raf ayat ke-34.

“Dan tiap-tiap umat mempunyai ajal (batas waktu), maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya walaupun sesaat dan tidak dapat (pula) memajukannya (mempercepatkannya).

“Keadaannya itu terpulang kepada sikap suatu kaum atau bangsa untuk menyelamatkannya dengan melakukan perubahan, sama ada perubahan yang baik atau buruk,” katanya.