Menang 6-1, JDT raih keputusan hebat walau sukar

Solari
Solari
A
A
A

KEMENANGAN 6-1 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin disifatkan sebagai satu keputusan yang hebat.

Menurut pengendali JDT, Esteban Solari, kesemua pemain telah memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan hingga mampu menghasilkan keputusan sedemikian, setelah kesebelasan pemain mengharungi satu perlawanan yang agak sukar.

“Saya berbangga melihat bagaimana pemain cuba ‘berdepan’ dengan perlawanan ini yang sememangnya agak sukar.

“Sebenarnya, saya telah mengingatkan pemain bahawa pasukan yang bakal ditentang (KL City FC) merupakan pasukan yang pernah menewaskan Kedah (KDA FC), Sabah (Sabah FC), Pahang (Sri Pahang FC) dan Terengganu (Terengganu FC) selain seri dengan Selangor (Selangor FC) di tempat lawan.

“Bagaimanapun saya berbangga dengan aksi yang dipamerkan pemain di sepanjang perlawanan ini hingga mampu menghasilkan kemenangan besar ini,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan pada Isnin.

Pada perlawanan berkenaan, penyerang import Diogo Santo meledak hatrik manakala Arif Aiman Mohd Hanapi dan dua pemain gantian, Safiq Rahim dan Akhyar Rashid masing-masing meledak satu gol bagi menjamin kemenangan skuad Harimau Selatan itu.

Sementara itu Solari berkata, skuad kendaliannya itu seharusnya menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan berkenaan.

“Kami seharusnya dapat menjaringkan lebih banyak gol, namun kemenangan 6-1 ini sudah cukup memadai,” katanya.