'Janji tak akan tinggal janji'

Tan Kok Wai
Tan Kok Wai
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) terus bertekad untuk menunaikan setiap perkara yang dijanjikan kepada rakyat dalam manifesto PRU14, kata Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai.

Beliau berkata, dalam tempoh hampir setahun mentadbir, PH berjaya membuktikan parti itu berjaya melaksanakan beberapa perkara yang terkandung dalam manifesto tersebut.

"Perlu diakui juga bahawa janji kempen pilihan raya mudah diucapkan, kadangkala sukar untuk dilaksanakan, lebih-lebih lagi mengambil kira situasi kewangan semasa negara.

"Ingin saya tegaskan di bawah pentadbiran PH, janji tidak akan tinggal janji. Ia akan ditunaikan meskipun apa jua rintangan yang terpaksa dihadapi," katanya ketika berucap pada persidangan DAP Kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kok Wai berkata, bagaimanapun terdapat beberapa pihak yang cuba memainkan persepsi negatif bahawa PH tidak akan menunaikan perkara yang dijanjikan dalam manifesto itu. "Persepsi ini dimanipulasi tanpa mengambil kira hutang besar yang terpaksa diwarisi oleh kerajaan PH ekoran ketirisan yang berlaku ketika zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

"Sedangkan sehingga kini, para pimpinan PH terus giat dan beriltizam untuk merealisasikan harapan rakyat seperti yang termaktub dalam manifesto," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, DAP berpendirian untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, agenda memperjuangkan hak-hak rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama juga tetap diberi keutamaan bagi memelihara semangat harmoni dalam kalangan rakyat di negara ini. - Bernama