‘Amanah, kunci kepada integriti’

Ali Akbar
Ali Akbar
A
A
A

SHAH ALAM - Sifat amanah adalah kunci kepada integriti tanpa mengira pangkat atau darjat kerana mereka yang memegang tanggungjawab, pasti akan menolak amalan rasuah.

Timbalan Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Pahang, Ali Akbar Othman berkata, kegiatan menawarkan rasuah itu berlaku di setiap peringkat atau posisi jawatan, namun sekiranya ikhlas dalam menjalankan tugas, mereka akan menghindari jenayah tersebut.

"Sesiapa sahaja boleh terdedah dengan rasuah sama ada kakitangan awam dan swasta gred rendah atau tinggi.

“Jika mereka amanah terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan, insya-ALLAH akan terhindar daripada menerima sebarang tawaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Jumaat, Yang di-Pertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Zainal Adnan Abdul Halim berkata, kakitangan awam dan swasta gred rendah perlu lebih berani untuk melaporkan kegiatan rasuah pegawai atasan sekiranya berlaku isu berkenaan dalam organisasi.

Zainal berkata, pekerja harus mendedahkan perkara itu ke peringkat yang lebih tinggi seperti membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Ali yang juga Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Peringkat Negeri Pahang berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan tersebut selain menegaskan kedua-dua pihak juga perlu sentiasa memainkan peranan dalam usaha memerangi rasuah khususnya sektor awam dan swasta.

“Gunakanlah apa sahaja kepakaran dan kemampuan yang ada untuk menterjemahkan kebencian terhadap salah laku rasuah kepada orang ramai,” ujar beliau.