'Bonceng isteri tunggang motosikal lawan arus'

Tangkap layar rakaman video memaparkan motosikal yang ditunggang secara melawan arus di persimpangan lampu isyarat sekitar Sungai Manggis, Kuala Langat pada Sabtu. - Foto: Facebook BSPT Kuala Langat. Gambar kecil: Ahmad Ridhwan
Tangkap layar rakaman video memaparkan motosikal yang ditunggang secara melawan arus di persimpangan lampu isyarat sekitar Sungai Manggis, Kuala Langat pada Sabtu. - Foto: Facebook BSPT Kuala Langat. Gambar kecil: Ahmad Ridhwan
A
A
A

KUALA LANGAT - Tindakan seorang lelaki menunggang motosikal melawan arus di persimpangan lampu isyarat sekitar Sungai Manggis di sini, Sabtu lalu dengan alasan mahu mengambil ubat di rumah lamanya memakan diri selepas ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kejadian itu dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat selepas mengesan satu video tular di media sosial.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada jam 4.08 petang dan penunggang berusia 55 tahun itu dikesan turut membonceng isterinya yang berumur 50 tahun di mana kedua-dua mereka tidak memakai topi keledar.

"Penunggang terbabit turut menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna jalan raya lain," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis telah pergi ke rumah individu terbabit di sekitar daerah ini pada keesokan harinya dan telah dikenakan tindakan saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Polis juga telah memberi nasihat atas tingkah laku yang dilakukan mereka," ujarnya.

Tambah Ahmad Ridhwan, semua pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan demi keselamatan diri dan pengguna lain.