PRN: Muda hanya bertanding hampir 10 peratus kerusi DUN

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak bercadang untuk meletakkan calonnya di kesemua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan Muda hanya akan bertanding hampir 10 peratus kerusi yang dipertandingkan.

Menurutnya, keputusan itu diambil berdasarkan kemampuan parti itu termasuk memerlukan jumlah dana yang besar untuk bertanding di semua kerusi.

“Saya akui cabaran luar biasa, Muda perlu ukur baju di badan sendiri. Untuk mengharapkan kita bertanding di 245 kerusi DUN adalah mustahil.

Sinar Live bersama Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membicarakan Mampukah Muda jadi kuasa ketiga? yang berlangsung di Studio Sinar Harian hari ini ini. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Sinar Live bersama Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membicarakan Mampukah Muda jadi kuasa ketiga? yang berlangsung di Studio Sinar Harian hari ini ini. - Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.



“Kalau boleh pun saya tak nak, kerana kita tidak berkemampuan dan apabila kita ingin mencalonkan orang kita nak pastikan ini adalah calon yang baik bukan sekadar letak calon semata-mata.

“Dengan itu saya akui kita tidak boleh bertanding di semua kerusi, realitinya kita akan bertanding kurang 10 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan ini,” katanya

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live ‘Kuasa ketiga atau kacau daun’ yang dihoskan oleh Haizir Othman yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, fokus utama Muda menyertai PRN kali ini bukan untuk menang dengan meletakkan calon di semua 245 kerusi.

“Tetapi walaupun calon Muda kecil, kita boleh menghantar isyarat yang jelas demi rakyat supaya mereka yang menduduki takhta kuasa tidak leka hingga mengadai prinsip perjuangan yang dilaungkan sebelum ini dengan dasar-dasar yang dijanjikan tetapi dikorbankan begitu sahaja kerana kuasa.

“Kita ingin menjadi penyemak imbang yang baik, saya berada di Parlimen hari ini walaupun satu kerusi, tapi kehadiran 100 peratus isu-isu yang saya bahaskan lengkap dengan cadangan dan solusi untuk pastikan negara kalis masa hadapan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga ingin membuktikan walaupun calon muda kecil dan kurang kewangan tetapi mereka boleh melaksanakan kerja dengan lebih baik.

“Kita perlu bersedia untuk kalah kerana ia boleh mengajar untuk jadi pemimpin lebih baik,” tegasnya

Tambahnya lagi, prinsip utama ialah dalam kemenangan itu jangan sombong dan dalam kekalahan itu jangan sampai kibarkan bendera putih.

“Ini bukan soal kalah atau menang, tetapi rakyat harus tahu ini pendirian dan perjuangan serta pelaburan untuk 10, 20 tahun akan datang,” jelasnya.