Empat lelaki curi kabel TM dicekup

Polis merampas kabel milik TM bersama satu alat pemotong ketika tangkapan tiga lelaki dilakukan di Gerik, Jumaat lalu. - Foto ihsan PDRM
Polis merampas kabel milik TM bersama satu alat pemotong ketika tangkapan tiga lelaki dilakukan di Gerik, Jumaat lalu. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

GERIK - Empat lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Telekom Malaysia Berhad (TM) bernilai RM15,600, Jumaat lalu.

Kegiatan itu mula dikesan apabila orang awam melaporkan kehadiran sebuah lori yang dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kuala Kenderong, di sini sekitar jam 4.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, bertindak atas maklumat itu, petugas kereta peronda (MPV) dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik berjaya menahan lori terbabit di Kilometer 26, Jalan Timur- Barat di sini.

"Lori terbabit dipandu suspek berusia 34 tahun bersama dua lelaki berusia 30 tahun.

"Hasil pemeriksaan menemui satu alat pemotong dan 42 gulung kabel yang telah dipotong tertera tulisan TM di bahagian belakang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek ditahan dan direman bermula 30 Jun sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

"Pihak TM juga telah membuat pemeriksaan dan mengesahkan kabel tersebut berada di tepi jalan dalam kawasan Kuala Kenderong dan telah membuat laporan di Balai Polis Gerik.

"Siasatan lanjut membawa tangkapan seorang lagi suspek berusia 50 tahun di Sungai Petani, Kedah sekitar jam 1.30 petang pada Ahad," katanya.

Tambah Zulkifli, suspek telah direman sehingga Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.