King Sing perjelas isu KLIA di Mesyuarat Kabinet Rabu ini

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUCHING - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing akan menjelaskan lebih terperinci berhubung isu kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu pada Mesyuarat Kabinet Rabu ini. 


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah bersemuka secara peribadi dengan Ahli Parlimen Bintulu tersebut selain perbincangan bersama beberapa pihak berkuasa terlibat juga sedang dilakukan. 


Tegasnya, isu tersebut seharusnya dapat diselesaikan dengan cara yang baik melalui sistem pentadbiran yang sedia ada. 


“Saya telah mengadakan perbincangan dengan beliau sendiri mengenai perkara itu, saya akan melakukan beberapa perbincangan juga dengan Menteri Dalam Negeri di mana Jabatan Imigresen di bawah beliau. 


“Permasalahan yang begini saya fikir boleh diselesaikan dengan cara yang baik melalui sistem pentadbiran yang ada dan Rabu nanti kita akan bawa perkara ini ke Kabinet, sudah pasti beliau akan menjelaskan dalam Mesyuarat Kabinet nanti,” katanya. 


Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Projek-Projek Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia (WBM) di sini pada Isnin. 


Terdahulu, beliau yang juga merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di pejabat Premier WBM Kuching. 


Pada Ahad, pihak polis memaklumkan sedang menjalankan siasatan mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) berkaitan kekecohan di KLIA terbabit.

King Sing sebelum ini membuat kenyataan mendakwa kehadirannya ke KLIA telah membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk negara melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). 


JIM pada Sabtu memaklumkan siasatan telah dibuat serta-merta selepas insiden tersebut dilaporkan. 
 Sementara Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab terhadap JIM pula menunggu laporan penuh insiden kejecohan terbabit sebelum memutuskan langkah selanjutnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Menteri ada pas VIP masuk kawasan larangan KLIA - Anthony

Lapor SPRM jika benar dakwaan pegawai terlibat rasuah

Tuduhan rasuah berat, King Sing perlu jawab isu NTL libatkan pelawat China - Akmal

Menteri akui kekecohan, dakwa berlaku isu rasuah di KLIA