Pelbagai kementerian perlu bekerjasama kukuhkan nilai ringgit - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan berucap semasa majlis penyerahan daging korban kepada petugas Kumpulan Sokongan 2 Kementerian Kewangan hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Maslan berucap semasa majlis penyerahan daging korban kepada petugas Kumpulan Sokongan 2 Kementerian Kewangan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Usaha untuk mengukuhkan nilai mata wang ringgit turut memerlukan penglibatan kementerian lain dan tidak hanya semata-mata bergantung kepada Kementerian Kewangan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut beliau, antara kementerian tersebut adalah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membantu terutamanya dari segi pelaburan dan pelancongan.

"Contohnya, MITI supaya pelaburan segera masuk ke negara kita dan eksport diperbanyakkan.

"Usaha menarik pelancong datang ke negara kita juga boleh membantu mengukuhkan ringgit... apa yang (boleh) dilakukan MOTAC dapat memudahkan kemasukan pelancong ke negara kita,” katanya ketika ditanya langkah segera untuk membendung kelemahan ringgit selepas mengagihkan daging korban kepada warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Ahmad berkata, berdasarkan taklimat yang diberikan kepadanya, antara faktor kelemahan ringgit adalah kerana permintaan terhadap ringgit kurang.

"Jadi apa yang perlu dilakukan ialah supaya ringgit digunakan oleh pelbagai pihak sama ada pelabur atau pelancong untuk mengatasi kelemahan nilai ringgit,” katanya. - Bernama