Jurulatih Thailand mampu pacu futsal negara

Sriwijit - Foto Agensi
Sriwijit - Foto Agensi
A
A
A

PELANTIKAN jurulatih futsal baharu dari negara jiran Thailand mampu memberi nafas baharu buat arena sukan itu pada masa depan.

Ketua jurulatih Selangor TOT, Patt Sriwijit berkata, kebanyakan kepakaran pengendali dari Thailand adalah terarah kepada bakat pemain muda dan satu langkah baik untuk pembangunan kancah futsal tempatan.

“Pelantikan jurulatih dari Thailand mampu memacu futsal di Malaysia.

“Saya pernah bekerjasama dengan jurulatih di sana dan mereka gemar menggunakan khidmat pemain remaja seawal usia 17 tahun,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail mengesahkan badan induk itu bakal melantik ketua jurulatih baharu dari negara Gajah Perang itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pengendali terdahulu, Chiew Chun Yong.

Sriwijit juga percaya kehadiran jurulatih Thailand dilihat berupaya mengubah taktikal dan corak permainan para pemain negara dalam usaha membentuk pasukan yang mantap.

“Cabaran utama buat mana-mana jurulatih sebaik sahaja tiba di Malaysia adalah untuk mengenal pasti corak, budaya serta falsafah futsal tempatan,” katanya.

Antara nama yang dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih kebangsaan ialah Rakhpol Sainetngam, Udom Yaveesuk serta Suksan Sangsri.

Sebagai rekod kali terakhir Malaysia menggunakan khidmat pengendali asing ialah pada 2016 yang ketika itu di bawah bimbingan Marcelo Serpa dari Brazil.

Tugasan utama buat ketua jurulatih baharu itu ialah kelayakan Piala Asia 2024 di Uzbekistan pada 7 hingga 11 Oktober depan.