Verstappen belum mahu berasa selesa

Verstappen menjuarai GP Austria di Spielberg pada malam Ahad. - Foto AFP
Verstappen menjuarai GP Austria di Spielberg pada malam Ahad. - Foto AFP
A
A
A

JUARA bertahan, Max Verstappen belum mahu memikirkan mengenai pemburuan kejuaraan kali ketiga Formula Satu (F1) setelah mengungguli Grand Prix (GP) Austria malam Ahad.

Biarpun berada dalam momentum terbaik untuk meraih gelaran ketiga, namun pemandu berusia 25 tahun itu mahu fokus satu demi satu perlumbaan.

"Setakat ini saya belum terfikir mengenainya (juara dunia kali ketiga)," katanya.

Dalam perlumbaan di Spielberg, pemandu Belanda itu menamatkan perlumbaan 5.155 saat di depan Charles Leclerc dari Ferrari.

Rakan sepasukannya di Red Bull, Sergio Perez mempamerkan semangat juang tinggi apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, selepas bermula di petak ke-15.

"Kereta ini memang laju. Saya menikmati pemanduan kereta ini dan berlumba untuk pasukan.

"Pecutan pada hujung minggu memang stres, jadi saya gembira semuanya berjalan mengikut perancangan," ujar Verstappen.

Ia merupakan kemenangan ke-42 Verstappen dalam kariernya.

Kemenangan itu meletakkannya di tangga kelima dalam senarai pemenang sepanjang zaman dan mengatasi mendiang Ayrton Senna, yang merangkul 41 kejuaraan sepanjang kariernya.