Isu bakar al-Quran: Pas gesa kerajaan bertindak lebih tegas

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas mengutuk insiden membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden, Rabu lalu, semasa cuti sambutan Aidiladha dan berharap agar kerajaan Malaysia bertindak lebih tegas dan aktif dalam isu berkenaan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan perlu menunjukkan keseriusan dalam isu berkenaan dan mengetengahkan mesej keamanan serta persaudaraan yang dibawa oleh Islam selaras dengan dasar dan pegangan negara.

"Selain mengeluarkan kenyataan rasmi atau memanggil wakil Sweden ke negara ini bagi menyampaikan protes kita, Pas juga menggesa Kementerian Luar supaya memanggil pulang duta kita ke negara berkenaan sebagai langkah bantahan yang lebih tegas,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Katanya, kerajaan juga boleh berperanan secara lebih aktif di pentas dan forum antarabangsa bagi menggembleng suara dan tindakan dunia dalam menghalang dan memberi tekanan kepada kerajaan serta pihak berkuasa Sweden daripada terus bersikap sambil lewa terhadap perbuatan tersebut. - Bernama