Bau busuk bongkar penemuan mayat dalam kebun getah

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

GERIK - Bau busuk membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang hampir reput dalam sebuah kebun getah di Kampung Pahit Dalam di sini, pada Ahad.

Keadaan mangsa berusia 43 tahun itu disedari orang awam yang terhidu bau busuk sekitar jam 9.40 pagi sebelum memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mayat mangsa hanya memakai seluar panjang berwarna hitam dan tidak berkasut.

"Mangsa merupakan penduduk tempatan kampung tersebut dan dijumpai meninggal dunia dalam kawasan kebun di pondok milik mangsa sendiri," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan polis di tempat kejadian tidak menemui apa-apa unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.

Katanya, buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Mayat telah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.