Projek naik taraf LTSIP lewat 143 hari

Nik Nazmi (kiri) ketika melakukan lawatan ke tapak Projek Pembinaan Jalan dan Jambatan Kampung Joh ke Kampung Belimbing, Tanah Merah hari ini. - Foto Bernama
Nik Nazmi (kiri) ketika melakukan lawatan ke tapak Projek Pembinaan Jalan dan Jambatan Kampung Joh ke Kampung Belimbing, Tanah Merah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MACHANG - Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu mengalami kelewatan sebanyak 25.79 peratus atau 143 hari berbanding jadual asal.

Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, setakat ini kemajuan projek itu mencapai 30.58 peratus berbanding sepatutnya 56.37 peratus.

Menurut beliau, kelewatan berlaku kerana masalah keperluan utiliti dan bahan binaan selain turut berdepan kekurangan pekerja mahir serta sistem keselamatan di tapak pembinaan itu, sebelum ini.

“Berhubung LTSIP yang terlewat ini, saya dimaklumkan bahawa pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang melaksanakan pelan pemulihan bagi mengatasinya.

“Tumpuan khusus akan diberikan untuk mengenal pasti dan mengatasi masalah yang sedang dihadapi supaya projek ini dapat kembali mengikut jadual,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke tebing Sungai Kelantan bagi Projek Jambatan di Kampung Joh, Machang ke Kampung Belimbing, Tanah Merah pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata, masalah kelewatan yang dihadapi itu tidak melibatkan pertambahan kos sementara tarikh siap projek masih kekal pada tahun 2024.

“Projek ini dijadualkan siap pada awal September tahun depan,” ujar beliau.

Akhbar sebelum ini melaporkan projek berkenaan bertujuan menambah baik fasiliti serta meningkatkan kapasiti terminal lapangan terbang daripada 1.5 juta penumpang kepada empat mppa (million passengers per annum) dengan kos melebihi RM440 juta.

LTSIP tidak dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa atau hub penerbangan serantau, namun masih boleh mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa berjadual dan tidak berjadual seperti lapangan terbang domestik lain.