UMNO Johor bantu Terengganu, NS, Selangor hadapi PRN

Mohamed Khaled mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di Ibu Pejabat UMNO Johor pada Ahad.
Mohamed Khaled mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di Ibu Pejabat UMNO Johor pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO Johor akan menghantar jentera bagi memperkuatkan lagi kempen parti itu di bawah Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak 20 bahagian di tiga negeri tersebut dikenal pasti sebagai kawasan angkat.

Jelasnya, penghantaran jentera tersebut sebagai timbal balas kepada negeri berkenaan yang membantu Johor berdepan PRN pada Mac tahun lalu.

"Sebanyak 14 bahagian di Johor akan membantu 11 bahagian parlimen di Selangor. Lapan bahagian pula digerakkan ke enam kawasan di Negeri Sembilan manakala tiga bahagian ke Terengganu.

"Pada PRN Johor tahun lepas, negeri-negeri lain datang membantu UMNO Johor. UMNO Johor merasakan perlu turun padang membantu negeri berdepan PRN kerana ia merupakan perjuangan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di Ibu Pejabat UMNO Johor di sini, pada Ahad.

PRN akan akan diadakan tidak lama lagi di enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sementara Terengganu, Kedah dan Kelantan di bawah teraju Perikatan Nasional (PN).

PRN perlu diadakan memandangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, jentera UMNO yang digerakkan ke negeri berdepan PRN akan membantu rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan.

"UMNO akan hantar jentera ke kawasan yang Barisan Nasional (BN) bertanding. Namun saya percaya kehadiran jentera ke kawasan tersebut, sekiranya sesebuah parlimen itu ada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang meletakkan calon BN dan calon daripada parti di bawah Kerajaan Perpaduan, tumpuan juga akan diberikan kepada mereka.

"Saya percaya, mereka juga akan membantu mempertahankan rakan yang sememangnya menerima UMNO dan BN," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, pembahagian kerusi DUN kepada BN pada PRN nanti adalah berasaskan kepada formula yang dipersetujui semua kepimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, segala perincian tentang pembahagian kerusi itu akan dimuktamadkan sebelum penamaan calon.

"Saya percaya, mana kerusi yang dahulunya kita menang dan mana kerusi yang mana-mana parti dapat nombor dua kalah, tetapi dia paling tinggi mungkin itu formulanya.

"Tetapi, apa pun kita tunggu kepada pengesahan terakhir antara ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan, maknanya dia sah atau tidak, itu kita akan perincikan dan kita akan umumkan sebelum penamaan calon," katanya.

Pada Sabtu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN dijangka bertanding sebanyak 45 peratus daripada 245 kerusi DUN pada enam PRN, manakala baki selebihnya pula akan ditandingi PH.