'Peniaga barang lusuh boleh terus meniaga'

Sivanesan (tengah) meninjau Kempen Minda Sihat Menderma Darah dan Organ di sebuah restoran di sini pada Ahad.
Sivanesan (tengah) meninjau Kempen Minda Sihat Menderma Darah dan Organ di sebuah restoran di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak bersetuju untuk membatalkan keputusan membeku Lesen Barang-Barang Lusuh kepada pengusaha sedia ada di negeri ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan berkata, sebelum ini tindakan pembekuan lesen tersebut dibuat selepas pihak polis menerima aduan terdapat peniaga barang-barang terpakai yang membeli barangan curi.

Menurutnya, disebabkan itu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil keputusan untuk membekukan pengeluaran lesen tersebut.

"Bagaimanapun pada April lalu, isu berkenaan dibawa ke pengetahuan exco dan tindakan serta merta diambil Saya juga adakan pertemuan dengan Ketua Polis Perak dan Datuk Bandar Ipoh bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Pada Jun lalu, Sandrea Ng Shy Ching (Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak) memaklumkan kerajaan negeri tiada halangan terhadap permohonan pembaharuan lesen barang-barang lusuh kepada pemegang lesen yang sedia ada sekiranya menepati syarat," katanya ketika ditemui merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Peniaga Barang Terpakai Ke-7 serta Kempen Minda Sihat Menderma Darah dan Organ di sebuah restoran di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Sivanesan berharap agar permohonan lesen bagi pengusaha baharu juga tidak dibekukan.

Menurutnya, keputusan itu penting perniagaan barangan lusuh itu juga memberi manfaat kepada kerajaan untuk menggalakkan orang ramai kitar semula.

"Jika mereka tak ada, barang-barang terpakai ini akan dibuang begitu sahaja seperti tin minuman ringan dan sebagainya.

"Ada keluarga yang yang bergantung hidup dengan barangan lusuh ini. Jadi kerajaan perlu membenarkan sama ada peniaga baharu dan lama memperbaharui lesen perniagaan ini," katanya.

Menurutnya, jika ada yang menyalahgunakan lesen membeli barang-barang curi, mereka perlu dibawa ke mahkamah untuk dikenakan tindakan dan bukan membekukan lesen semua pengusaha.