Hari mengundi PRN dijangka 12 Ogos - Penganalisis

Manimaran
Manimaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari pengundian enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka dilakukan selewatnya pada 12 Ogos depan.

Penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia yang juga penganalisis politik, G Manimaran berkata, PRN di enam buah negeri melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu berkemungkinan berlaku pada tarikh itu selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kepulangan jemaah haji tiga minggu daripada sekarang.

“Contohnya musim perayaan, cuti umum, hari-hari yang khas. Saya melihat antara empat hingga lima minggu akan datang kita ada sambut Awal Muharam pertengahan bulan Julai.

“Kemudian kita kena lihat jemaah haji yang akan balik secara berperingkat. Selepas Hari Raya Haji minggu lepas mereka akan balik ke tanah air.

“Setiap rakyat warganegara Malaysia akan menjadi pengundi dan kita tidak boleh menafikan hak mereka untuk mengundi, mereka balik paling lewat dalam tiga minggu lagi,” katanya dalam program Fokus Minggu Depan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan hari penamaan calon PRN akan diadakan pada 29 Julai depan mengambil kira tempoh 14 hari berkempen yang diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, beliau mencadangkan kerajan negeri atau pusat boleh bekerjasama dengan agensi pengangkutan awam swasta untuk memberikan subsidi pengangkutan pada hari pengundian nanti.

“Kita kena sediakan kemudahan transport untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi.

“Saya nampak kesedaran mengambil dalam pilihan raya meningkat tetapi SPR dan badan-badan agensi lain kena bekerjasama meningkatkan kemudahan untuk terus meningkatkan peratusan orang keluar mengundi,” katanya. - Awani