Bidan India sambut 10,000 bayi tanpa rekod kematian

Khatija berbangga menyambut 10,000 kelahiran bayi tanpa rekod kematian di negeri Tamil Naidu. - Foto Agensi
Khatija berbangga menyambut 10,000 kelahiran bayi tanpa rekod kematian di negeri Tamil Naidu. - Foto Agensi
A
A
A

MUMBAI - Seorang bidan di India berjaya menyambut 10,000 bayi tanpa rekod kematian sepanjang berkhidmat selama 33 tahun di sebuah pusat kesihatan negeri Tamil Naidu.

Khatija Bibi, 60, yang kini sudah bersara dalam bidang kesihatan itu menyatakan beliau bangga apabila menyaksikan sistem penjagaan kesihatan wanita di negaranya semakin berkembang.

"Saya bangga kerana tidak seorang pun daripada 10,000 bayi yang dilahirkan meninggal dunia di tangan saya," kata Khatija sambil menganggap beliau sudah sampai di puncak dalam kerjayanya.

Menteri Kesihatan, Ma Subramaniam memberitahu BBC bahawa Khatija baru-baru ini menerima anugerah daripada kerajaan kerana tidak merekodkan kematian terhadap bayi yang disambutnya sepanjang berkhidmat.

Sepanjang tiga dekad, beliau bekerja di sebuah pusat kesihatan di selatan negeri Tamil Naidu.

Sebelum ini, India merekodkan kadar kematian ibu dan bayi yang tinggi berbanding negara lain.

"Saya pernah mengandung tujuh bulan...namun dapat membantu wanita lain. Saya kembali bekerja selepas berehat seketika selama dua bulan.

"Jadi saya tahu betapa cemasnya wanita apabila mereka bersalin, jadi dengan menjadikan mereka selesa dan yakin adalah keutamaan saya," katanya.

Khatija bersara pada Jun lalu dan menyatakan kerjayanya itu adalah bersumberkan inspirasi daripada ibunya, Zulaika yang juga bidan kampung.

"Saya sering bermain-main dengan picagari semasa zaman kanak-kanak. Saya juga sudah terbiasa dengan bau hospital," ujarnya.

Sejak kecil lagi, Khatija memahami kepentingan kerja ibunya dengan menyediakan penjagaan kesihatan kepada wanita luar bandar yang miskin dan separa buta huruf.

Pada tahun 1990, kadar kematian ibu (MMR) di India mencapai 556 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran hidup. Pada tahun yang sama, India mencatatkan 88 kematian bayi bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

Angka kerajaan terkini menunjukkan bahawa MMR berada pada 97 setiap 100,000 kelahiran hidup, dan kadar kematian bayi pada 27 setiap 1,000 kelahiran hidup. - Agensi