Lonjakan ranking Harimau Malaya, sentuhan Hamidin berhasil

HAMIDIN
HAMIDIN
A
A
A

RAKYAT Malaysia khususnya peminat bola sepak ketika ini mempunyai alasan konkrit untuk membuang 'ukiran cemberut' di wajah selepas pasukan negara kembali beraksi di pentas tertinggi Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari depan.

Peningkatan prestasi ditunjukkan skuad Harimau Malaya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, menyaksikan peminat kembali tersenyum selepas sekian lama dirundung kekecewaan.

Membangunkan bola sepak negara dan melihat peminat gembira menjadi impian Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin sejak dilantik menduduki kerusi panas itu pada 14 Julai 2018.

Kemajuan pasukan negara dalam tempoh lima tahun di bawah kepimpinan Hamidin terbukti, apabila ranking Malaysia melonjak 34 anak tangga dari kedudukan 171 pada Jun 2018 ke posisi 137 baru-baru ini, sekali gus bergerak ke arah matlamat berada dalam kelompok 70 pasukan terbaik pada 2030.

Posisi ke-137 adalah ranking terbaik Malaysia dalam tempoh 17 tahun sejak berada di tangga ke-127 pada Mei 2006 dan Hamidin mempunyai misi untuk memastikan skuad Harimau Malaya menembusi kelompok 130 terbaik hujung tahun ini.

Dalam tempoh lima tahun itu juga, Malaysia menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia pada Jun tahun lalu, selepas pelbagai usaha dilakukan beliau seperti memperkenalkan Peta Hala Tuju (F:30) dan program pemain naturalisasi.

Selepas bermula baik, kepimpinannya diuji ketika pandemik Covid-19 yang merencatkan momentum baik pasukan negara dalam kempen kelayakan Piala Dunia/Piala Asia pada 2020, disusuli dengan kegagalan melepasi saingan kumpulan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2020.

Tekanan dihadapi FAM pada hujung 2021 menyaksikan beliau membuat keputusan berani melantik ketua jurulatih skuad kebangsaan yang pertama dari Korea Selatan, Kim Pan-gon menggantikan Tan Cheng Hoe bagi memulihkan reputasi skuad Harimau Malaya yang tercalar.

Hasilnya pasukan negara menamatkan penantian lebih empat dekad yang penuh derita untuk kembali beraksi pada Piala Asia secara merit, selain kini menikmati kemajuan positif terutama selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut tahun ini.

Sentuhan dan komitmen Hamidin dalam menghadirkan kejayaan buat pasukan negara, selain pembabitan beliau sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2023-2027, dikagumi Presiden Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) Datuk Wilson Lau.

"Saya lihat dari dua segi, yang pertama cara beliau (Hamidin) bantu skuad Harimau Malaya sehingga berada di kedudukan ke-137, keputusan bawa masuk jurulatih dari Korea Selatan merupakan tindakan berani dan tepat, beliau (Hamidin) tahu standard yang diperlukan.

"Kedua dari segi FIFA, beliau merupakan wakil Malaysia dan Asia sebagai Ahli Majlis, ini cukup hebat, tidak datang sekelip mata dan bukti keupayaan pengurusan beliau. Hubungan baik beliau dengan FIFA sebab kualiti kepimpinannya, diharap ia akan beri faedah kepada negara," katanya.

Turut senada betapa Hamidin memainkan peranannya dengan baik adalah legenda bola sepak Datuk Santokh Singh yang berkata: "Beliau (Hamidin) buat tugas yang baik, beliau cuba sedaya upaya bawa semula Malaysia ke tahap terbaik."

Selain pembabitan dalam dunia bola sepak, kredibiliti dan kepimpinan Hamidin yang sudah menyandang jawatan presiden FAM selama dua penggal, turut diakui pihak luar apabila diumum sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Sebagai rekod, Hamidin adalah presiden FAM ketujuh dan merupakan orang kebanyakan pertama menjawat jawatan itu. – Bernama