Ziyech tak sempat ikut jejak Ronaldo

Ziyech terpaksa akur gagal dalam ujian perubatan dengan Al-Nassr.
Ziyech terpaksa akur gagal dalam ujian perubatan dengan Al-Nassr.
A
A
A

HAJAT pemain sayap Chelsea, Hakim Ziyech menyertai kelab Arab Saudi, Al-Nassr tidak menjadi kenyataan selepas dia berdepan masalah lutut ketika menjalani ujian perubatan.

N'Golo Kante, Kalidou Koulibaly dan Edouard Mendy meninggalkan Stamford Bridge untuk beraksi dalam saingan Liga Pro Saudi dan Ziyech sepatutnya turut mengikut jejak trio Chelsea itu ke Timur Tengah.

Ziyech dijadualkan menyertai Cristiano Ronaldo di Al-Nassr selepas kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad The Blues.

Menurut laporan media di Britain sebelum ini, pemain antarabangsa Maghribi itu bakal menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan nilai perpindahan mencecah 8 juta pound (RM47.36 juta).

Namun, perpindahan itu berdepan 'bahaya' susulan kegagalan Ziyech dalam ujian perubatan dan dia turut dilaporkan mengalami masalah dalam terma peribadi pada saat akhir.

Ziyech berhasrat meninggalkan Chelsea sejak musim panas lalu dan kecewa selepas masalah teknikal menyebabkan perpindahannya secara pinjaman ke Paris Saint-Germain (PSG) gagal pada saat akhir.

Kini belum dapat dipastikan sama ada Al-Nassr mahu meneruskan hasrat mengikat Ziyech, manakala Chelsea pula dijangka berusaha mendapatkan muka baharu bagi menggantikan bekas pemain Ajax Amsterdam itu.

Chelsea dalam proses membina semula skuad dan mahu mengumpul sehingga £200 juta (RM1.184 bilion) yang menyaksikan Mason Mount bakal melengkapkan perpindahan 60 juta pound (RM355 juta) ke Manchester United.