Bincang potensi model ekonomi sempadan

Salahuddin ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan daging korban di Bandar Uda Utama pada Khamis. - Foto Bernama.
Salahuddin ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan daging korban di Bandar Uda Utama pada Khamis. - Foto Bernama.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang mengadakan mesyuarat khas bersama kerajaan Johor dalam masa terdekat bagi membincangkan potensi ekonomi di sempadan negeri itu memandangkan lokasinya berdekatan Singapura.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menerusi mesyuarat itu satu jawatankuasa antara KPDN dan kerajaan negeri akan diwujudkan dalam usaha membangunkan secara besar-besaran mengenai prospek dan peluang ekonomi di negeri itu.

"Saya akan menghubungi Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam tempoh segera agar satu mesyuarat khas dapat dimulakan supaya kita dapat mengenal pasti peluang dan lokasi strategik untuk ekonomi sempadan ini. Misalnya sektor perkhidmatan yang boleh dibangunkan secara komersial iaitu industri pembersihan dan basuh kereta, dapat pulangan begitu lumayan.

"Jadi kenapa tidak diterokai bidang yang lain juga, supaya kami dapat bincang untuk merancakkan ekonomi tempatan khususnya di kawasan sempadan Singapura," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan daging korban kepada masyarakat Parlimen Pulai pada Majlis Ibadah Korban di Bandar Baru Uda di sini pada Khamis.

Beliau berkata selepas Johor, KPDN juga akan mengadakan sesi libat urus dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak kerana kedua-dua sempadan negeri itu turut memiliki potensi ekonomi komersial yang besar.

"Ini antara yang sedang dirancang, kami akan adakan secepat mungkin. Selepas Johor, Sabah dan Sarawak pula kerana sempadan sana memang berpotensi besar disebabkan ibu negara Indonesia iaitu Nusantara akan beroperasi sepenuhnya jadi kita tidak boleh terkebelakang," katanya. - Bernama.