Syed Saddiq: Lebih 1,000 keluarga nelayan terjejas di Muar

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

MUAR - Mata pencarian lebih 1,000 keluarga nelayan di sini terjejas akibat kegiatan pencerobohan bot pukat tunda haram dipercayai berlaku hampir 50 tahun, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pencerobohan itu dipercayai telah berlaku sehingga menghampiri kawasan Bagan antara 3 hingga 5 batu nautika dari pantai dan antara jam 6 pagi hingga 6 petang.

Beliau berkata, pukat tunda haram yang mencerobohi sehingga kawasan Tanjung Tohor pada bila-bila masa juga telah memusnahkan tempat perlindungan dan pembiakan ikan dan membinasakan jaring serta bubu nelayan.

"Pencerobohan pukat tunda haram yang telah berlaku hampir 50 tahun ini masih belum diatasi walaupun Fisheries Society Parit Jawa telah merujuk perkara ini kepada Pengarah Perikanan Negeri Johor semenjak tahun 1999.

"Rata-rata nelayan di Muar masih menghadapi masalah pencerobohan pukat tunda haram, isu tukun (culvert pembetung konkrit), dok dan jeti dan panduan kawasan tangkap ikan di Selat Melaka yang tidak jelas," katanya menerusi kenyataan selepas mengadakan lawatan ke Parit Jawa serta perairan sekitar Muar di sini hari ini bagi meninjau masalah tersebut.

Syed Saddiq berkata, beliau akan berusaha mendapatkan maklum balas daripada Pejabat Perikanan Daerah Muar, Persatuan Nelayan dan Pasukan Polis Marin Muar dalam sesi dialog bersama nelayan dalam masa terdekat.

Selain itu, beliau juga akan membawa isu ini ke peringkat atasan untuk perhatian Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dan Kementerian Pertahanan. - Bernama

Artikel Berkaitan: