'Jangan nafikan PRN ini jadi referendum rakyat' - KJ

Khairy dalam Program Podcast Keluar Sekejap bersama Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.
Khairy dalam Program Podcast Keluar Sekejap bersama Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri nanti dijangka menjadi referendum atau pungutan suara rakyat terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan.

Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, walaupun ada pihak yang cuba menafikannya, tetapi tidak bagi pengundi.

"Mereka (pengundi) bukan hanya akan melihat kepada prestasi kerajaan negeri yang berkenaan selama empat atau lima tahun lepas tetapi mereka juga akan dipengaruhi dengan apa yang dilihat telah pun berlaku sejak tujuh, lapan bulan yang lepas sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Jadi, bagi saya apabila Shahril kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebut bahawa ini bukanlah referendum, mungkin itu adalah satu kenyataan taktikal daripada Presiden UMNO kerana dia nak merendahkan ekspektasi daripada PRN ini," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Program Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.

Tambah Khairy, Ahmad Zahid sendiri tahu bahawa kemungkinan besar UMNO akan berhadapan dengan keadaan yang agak sukar.

"Ada juga yang kata, UMNO dalam kebanyakan kerusi akan bungkus habis.

"Saya rasa, Presiden tahu tentang perkara ini, beliau adalah ahli politik yang agak 'seasoned' dan berpengalaman.

"Dia dah tahu, jadi dia merendahkan ekspektasi, dia kata ini bukan referendum tapi ini hanya PRN," ujar beliau.

Khairy berkata, sekiranya UMNO betul-betul 'bungkus' di kebanyakan kerusi, beliau menjangkakan Ahmad Zahid akan memberi alasan ia bukanlah negeri UMNO dan bukan tempat yang parti itu menerajui kerajaan negeri.