PRN: Muda bertanding bukan sebab kuasa, mahu semak dan imbang

Syed Saddiq (tengah) ketika sidang akhbar pada Rabu
Syed Saddiq (tengah) ketika sidang akhbar pada Rabu
A
A
A

PETALING JAYA - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah untuk menjadi suara rakyat bukannya semata-mata demi kuasa.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menempelak kenyataan daripada Pengerusi Proklamasi Orang Melayu (POM), Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keputusan Muda yang akan bergerak solo pada PRM di enam negeri akan datang disifatkan sebagai sia-sia.

"Saya berpandangan rata-rata rakyat mahukan adalah sistem semak dan imbang itu kuat supaya suara mereka tidak dilupakan, diasingkan dan disisihkan.

"Sebab itu Muda tawarkan calon-calon rakyat untuk dijadikan sistem semak dan imbang, lantang bersuara dan bela rakyat untuk pastikan politik baharu diberi keutamaan bukan sekadar dapatkan kerusi (Dewan Undangan Negeri).

"Ya, kita memang tidak dapat kuasai kerajaan negeri tetapi apa yang kita boleh jamin akan bekerja keras untuk rakyat, menjadi suara rakyat untuk pastikan tiada sesiapa bersikap acuh tak acuh atau mengambil mudah suara dilontarkan masyarakat," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar pada Rabu.

Pada Rabu, Dr Mahathir menyatakan Muda yang akan bergerak solo pada PRN di enam negeri akan datang disifatkan sebagai sia-sia sekiranya tidak mampu membantu bentuk kerajaan.

Dr Mahathir secara sinis berkata, tindakan parti itu yang akan meletakkan calon di beberapa kerusi DUN tidak mengubah keputusan dalam pembentukan kerajaan.

Sebelum ini, Syed Saddiq menegaskan niat parti itu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan bukan sekadar tidak dilayan malah diperlekehkan.

Justeru Ahli Parlimen Muar itu mengumumkan Muda akan bergerak secara solo dengan kekuatan sendiri dalam PRN akan datang

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, meskipun ramai pimpinan Muda kurang pengalaman dalam politik tetapi mereka memiliki idealisme yang berkobar-kobar.

Menurutnya, semasa Muda diasaskan sememangnya menyedari perjuangan parti itu memakan masa agak lama.

"Kita tiada rangakaian patronage (penaung) sangat besar untuk memperluaskan parti ini begitu cepat tetapi ingin mencuba, terus mencuba dan kemudian membawa perubahan politik baharu itu walaupun memakan masa dan dipenuhi dengan kekalahan demi kekalahan.

"Tetapi akhirnya ia akan bermakna apabila kita capai destinasi tersebut untuk angkat martabat rakyat jadikan Malaysia maju, bermaruah serta negara yang berintegriti," ulasnya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung status sama ada Muda masih sebahagian dalam Kerajaan Perpaduan, Syed Saddiq menyatakan beliau bukan individu yang sesuai untuk menjawab soalan tersebut.

"Saya bukan individu yang layak menjawab soalan tersebut dan soalan tersebut perlu diajukan kepada pemimpin Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

"Semua orang tahu saya tidak dimasukkan dalam proses perbincangan mereka. Jadi soalan itu lebih baik pemimpin Kerajaan Perpaduan yang menjawabnya," ulasnya.