Bekas peserta Miss Korea 2020 meninggal selepas pembedahan

Yeon Je yang juga merupakan bekas peserta Miss Korea Daegu 2020 meninggal dunia pada usia 26 tahun. - Gambar fail
Yeon Je yang juga merupakan bekas peserta Miss Korea Daegu 2020 meninggal dunia pada usia 26 tahun. - Gambar fail
A
A
A

BEKAS peserta Miss Korea 2020 yang kemudian menjadi pemberita, Lee Yeon Je, dilaporkan meninggal dunia selepas pembedahan penyakit yang tidak dinyatakan gagal.

Yeon Je yang juga merupakan bekas peserta Miss Korea Daegu 2020 meninggal dunia pada usia 26 tahun.

Media tempatan melaporkan Yeon Je yang kini berkhidmat sebagai pemberita di MBN TV(Maeil Broadcasting Network) menyatakan dirinya mengambil cuti sakit sebelum menjalani pembedahan untuk mengatasi penyakit yang dialami.

Namun dia yang terkenal sebagai pembaca berita segmen News 7 dan Economic Reporter M disahkan meninggal dunia selepas tidak bangun usai pembedahan berlangsung.

Terdahulu wanita tersebut sempat berkongsi perkembangan terkini tanpa memperincikan penyakit yang dialami di platform media sosialnya.

“Sejak lebih dua bulan lalu saya menangis, tersenyum, sakit dan pulih.

“Terima kasih untuk semua pihak, rakan kerja yang baik. Saya telah melunaskan pekerjaan terakhir semalam dan kini mengambil cuti sakit,” tulis Yeon Je di Instagramnya seperti dilaporkan Koreoboo.

Sementara itu pihak MBN TV turut melahirkan rasa dukacita di atas kematian Yeon Je.

“Ini adalah khabar yang mengejutkan dan dukacita buat keluarga mendiang serta stesen televisyen kami,” kata MBN TV dalam satu kenyataan. - Gempak