Anak Felda miliki potensi dalam bidang teknologi

Nik Hasrul
Nik Hasrul
A
A
A

SHAH ALAM - Anak-anak peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mempunyai potensi dalam bidang teknologi dan mampu bersaing dengan pelajar di bandar menerusi pertandingan robotik serta reka cipta.

Pengarah Pembangunan Komuniti dan Generasi Felda, Nik Hasrul Mohd Zainuddin berkata, ia terbukti apabila 43 sekolah menyertai pertandingan Felda Robotic Challenge dan penyertaannya cukup memberangsangkan.

“Kami menerima ulasan daripada pihak juri yang cukup kagum dengan hasil reka cipta anak-anak Felda walaupun program ini baharu sahaja bermula tahun lalu,namun ia telah memberi impak yang besar.

“Program ini juga bukan sahaja mengajar, tetapi juga merupakan kaedah berfikir secara kritis. Pelajar daripada peringkat sekolah rendah dapat meneroka bidang robotik dan digital dengan lebih baik,” katanya dalam program Wacana Sinar Harian, 'Generasi Felda inovatif: Coding dan robotik’ yang disiarkan secara langsung di platform digital pada Selasa.

Program itu turut menampilkan Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris dan pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts Dr Luthffi Idzhar Ismail sebagai panelis manakala Ismail Adnan selaku penalis.

Dalam pada itu, Nik Hasrul berkata, pihak Felda turut menaja murid sekolah rendah dan menengah yang cemerlang untuk mengikuti kursus Digital Leadership di Asia Pacific University (APU).

Ujarnya, hasil program kepimpinan itu, pelajar yang dihantar berjaya menempatkan diri mereka di pasaran kerja selepas dua minggu mengikuti kursus tersebut.

“Kami menghantar 22 belia melalui Majlis Belia Felda untuk mengikuti kursus di Aerodyne Group selama dua bulan dan dalam tempoh dua minggu kesemua mereka telah berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Dalam tempoh dua atau tiga tahun ini merupakan masa yang sesuai untuk mendedahkan mereka kepada dunia robotik setanding dengan generasi lain,” katanya.