KPDN sita 170 botol susu kacang soya guna logo halal palsu

Premis terbabit tersebut disyaki beroperasi menggunakan logo halal tanpa perakuan dan kebenaran daripada pihak Jakim - Foto: KPDN Perak
Premis terbabit tersebut disyaki beroperasi menggunakan logo halal tanpa perakuan dan kebenaran daripada pihak Jakim - Foto: KPDN Perak
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menerusi KPDN Teluk Intan menyita 170 botol susu kacang soya dan 4,300 unit label yang mempunyai logo halal tanpa perakuan dan kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Pejabat KPDN Perak, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1,182.50, manakala seorang lelaki berumur 58 tahun yang dipercayai pemilik perniagaan ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurut Mohamed Aznanshah, tindakan itu dilaksanakan menerusi satu operasi bersepadu bersama Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak dan Majlis Perbandaran Teluk Intan melibatkan pemeriksaan penggunaan logo halal palsu di sebuah premis kediaman yang diubah suai sebagai tempat memproses makanan dan minuman di kawasan Hutan Melintang, Teluk Intan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi Selasa di premis berkenaan mendapati terdapat susu kacang soya yang telah siap diproses dan dibotolkan serta disyaki menggunakan logo halal palsu bertujuan diedarkan ke premis perniagaan runcit di sekitar Teluk Intan.

"Premis kediaman tersebut disyaki beroperasi menggunakan logo halal tanpa perakuan dan kebenaran daripada pihak Jakim.

"Semakan awal Bahagian Pensijilan Halal, Jabatan Agama Islam Ipoh turut mengesahkan bahawa premis ini tidak diberikan sebarang pensijilan atau kebenaran untuk menggunakan logo halal pada produknya," katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.

Mohamed Aznanshah berkata, kes disiasat di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan bagi perseorangan atau individu.- Bernama