Perak FC tidak berhutang dengan Teong Kim

Laporan Sinar Harian pada Selasa dan tangkap layar pengumuman rasmi Perak FC
Laporan Sinar Harian pada Selasa dan tangkap layar pengumuman rasmi Perak FC
A
A
A

PERAK FC mengambil pendirian untuk tidak mengulas lanjut terhadap tindakan bekas Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim yang telah memfailkan representasi dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) Negeri Perak di sini.

Perak FC dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil maklum berhubung dakwaan pemecatan Teong Kim secara tidak adil.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, Perak FC ingin menyatakan bahawa Datuk Lim Teong Kim telah dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih.

"Perkara ini kini berada di pihak peguam kelab untuk diselesaikan," katanya di sini pada Selasa.

Perak FC turut menjelaskan bahawa kelab itu tidak menahan atau berhutang sebarang bayaran kepada mana-mana pekerja, pemain dan jurulatih sehingga kini.

"Perak FC tidak akan mengulas lanjut dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Lim dalam segala urusan beliau di masa hadapan," katanya.

Sinar Harian melaporkan Teong Kim memfailkan representasi berhubung penamatan kontrak secara salah dan tuntutan baki 16 bulan gajinya.

Teong Kim bersama peguamnya, Adam Yap Boon Han memfailkan tuntutan itu selepas dipecat pada Mei lalu setelah lapan bulan berkhidmat dengan pasukan berkenaan.

Representasi dikemukakan mengikut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan pihaknya sedia membuka ruang rundingan dengan Perak FC.