Pertuduhan rasuah Wan Saiful teratur, lengkap - Pendakwaan

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa diberitahu bahawa dua pertuduhan berkaitan rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa yang dikemukakan terhadap bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan adalah teratur dan lengkap.

Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi berhujah bahawa kedua-dua pertuduhan berkenaan tidak cacat, sebaliknya jelas dan boleh difahami.

"Seksyen 153 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) menyatakan tarikh dan masa hendaklah dinyatakan dalam pertuduhan. Dalam pertuduhan pertama, masa telah dinyatakan iaitu sekitar April 2022 manakala pertuduhan kedua masa dinyatakan pada Julai hingga September.

"Pihak pembelaan juga telah dibekalkan dengan dokumen serta notis yang mencukupi bagi membolehkan mereka menyediakan pembelaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada prosiding pendengaran permohonan Wan Saiful untuk mengetepikan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa yang dihadapinya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Selain itu, Rasyidah Murni berkata, permohonan Wan Saiful adalah tidak berasas dan pramatang kerana saksi-saksi pendakwaan masih belum memberi keterangan.

"Sehubungan itu, pihak kami memohon mahkamah menolak permohonan ini memandangkan ia tidak mempunyai alasan yang kukuh dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.

Peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Wan Saiful pula berkata, kedua-dua pertuduhan terhadap anak guamnya adalah cacat kerana tidak menyatakan secara khusus tarikh kesalahan dilakukan.

"Dalam pertuduhan itu hanya menyebut sekitar bulan tertentu tanpa mengemukakan butiran yang lengkap bagi kesalahan yang dipertuduhkan terhadap anak guam saya,” katanya.

Dalam pada itu, Amer Hamzah berkata, pertuduhan itu juga tidak berasas berdasarkan Seksyen 173 (g) KTJ yang menyebabkan pihak pembelaan dinafikan hak untuk mengemukakan pembelaan dan alibi.

"Isu berhubung pertuduhan tidak berasas ini bukan sesuatu yang bersifat pramatang kerana ia boleh dikemukakan pada bila-bila masa sebelum mahkamah membuat keputusan di akhir kes pendakwaan.

"Pada peringkat ini, kami tidak memohon tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan, tetapi mahkamah mempunyai kuasa untuk meneliti sama ada pertuduhan itu teratur mengikut peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah,” kata peguam itu.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Rozina menetapkan 21 Julai ini untuk keputusan permohonan itu.

Wan Saiful, 48, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek "Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022. - Bernama