Iktiraf SKM setaraf SPM

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bercadang untuk mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) agar setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bagi meningkatkan lagi kadar kebolehpasaran pemegang sijil Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Kertas dasar akan dibawa ke kabinet dua minggu daripada sekarang untuk menentukan bahawa sijil ini akan turut diiktiraf sama taraf atau lebih daripada SPM," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Portal TVET Madani dan pertukaran Memorandum Kerjasama (MoU), di sini pada Selasa.

Menurutnya, antara perubahan besar yang akan dilakukan adalah termasuk koordinasi kerjasama dengan 12 kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta supaya tiada pihak yang tertinggal merebut peluang pekerjaan dalam TVET.

"Terdapat 1,344 institusi TVET di seluruh negara. Kita mahu bukan sahaja melibatkan MoU tetapi dapat menentukan kebolehpasaran lepasan TVET mendapat 100 peratus pekerjaan," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid telah menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama Transformasi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional antara GLC dan swasta.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Sebanyak 16 buah syarikat terlibat di dalam pertukaran MoU dan seterusnya akan menjadi rakan strategik industri yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program TVET negara melalui pembangunan kurikulum, bahan latihan, sumbangan dan perkongsian kemudahan serta peralatan, sumbangan khidmat kepakaran selain pembangunan kompetensi tenaga pengajar dan pembiayaan program latihan.