DUN Terengganu dibubar esok

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubar pada Rabu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkembangan itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi kenyataan rasmi di media sosial Facebooknya sebentar tadi.

Menurutnya, pembubaran itu telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Terdahulu, Ahmad Samsuri menghadap Sultan Mizan di Istana Syarqiyyah, di sini kira-kira jam 8.30 pagi pada Selasa bagi memohon perkenan tarikh pembubaran DUN.

Bermula Rabu, Terengganu akan ditadbir kerajaan negeri sementara sehingga pembentukan kerajaan baharu selepas PRN nanti.

Terengganu yang mempunyai keseluruhan 32 DUN termasuk enam negeri yang dijadualkan akan mengadakan PRN di samping Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Pas memenangi 22 kerusi DUN manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi.