Rakyat Selangor paling ramai bersenam

Seramai 1.3 juta rakyat Selangor dilaporkan mengamalkan gaya hidup aktif, sekali gus paling ramai bersukan dan bersenam di negara ini. - Gambar hiasan
Seramai 1.3 juta rakyat Selangor dilaporkan mengamalkan gaya hidup aktif, sekali gus paling ramai bersukan dan bersenam di negara ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 1.3 juta rakyat Selangor dilaporkan mengamalkan gaya hidup aktif, sekali gus paling ramai bersukan dan bersenam di negara ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan memaklumkan, ia berdasarkan hasil bancian daripada 16.1 juta responden yang menjawab soalan kecergasan Banci Malaysia 2020, dengan 8.7 juta penduduk dilaporkan terlibat dalam aktiviti tersebut.

Johor pula mencatatkan sejumlah 1.2 juta orang, dengan kedua-dua negeri tersebut menyumbang sebanyak 2.5 juta atau 28.5 peratus daripada 8.7 juta penduduk yang bersenam.

"Petaling, Johor Bahru dan Kinta adalah daerah pentadbiran yang paling aktif, masing-masing mencatat 445.9 ribu, 392.5 ribu dan 339.2 ribu penduduk melakukan aktiviti fizikal.

“Sebanyak 62.4 peratus daripada 8.7 juta penduduk aktif pada 2020 melakukan sekurang-kurangnya satu aktiviti fizikal, 22.8 peratus terbabit dalam dua aktiviti manakala 14.8 peratus melakukan tiga aktiviti atau lebih.

"Aktiviti rekreasi pula seramai 4.2 juta orang, berjalan laju dengan 2.8 juta orang dan berlari, 2.1 juta orang adalah antara yang paling digemari diikuti berbasikal, e-Sport, zumba atau aerobik, berenang, aktiviti gimnasium, sukan lasak dan taichi atau yoga," katanya pada Isnin.

Berdasarkan Banci Malaysia 2020 itu, 80 peratus responden juga menyatakan tempat kediaman yang dilengkapi kemudahan taman permainan dan padang bola adalah dalam lingkungan sehingga lima kilometer, sekali gus menjadi faktor penyumbang kepada aktiviti fizikal.

Ujarnya, kurang daripada 60 peratus responden menyatakan kemudahan sukan dan rekreasi awam contohnya padang golf, pusat boling, kolam renang dan stadium mini terletak dalam jarak sehingga lima kilometer dari kediaman mereka.