Selangor sumbang 25.5 peratus KDNK terbesar negara

Amirudin memuat naik hantaran dan info grafik mengenai pertumbuhan KDNK yang dikeluarkan DOSM.
Amirudin memuat naik hantaran dan info grafik mengenai pertumbuhan KDNK yang dikeluarkan DOSM.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor menyumbang 25.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar dalam negara pada tahun lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pertumbuhan ekonomi negeri itu pada tahun lalu ialah 11.9 peratus mengatasi KDNK negara pada 8.7 peratus.

"Negeri Selangor terus makmur, maju dan stabil di bawah Pakatan Harapan (PH)," katanya dalam satu hantaran dan info grafik di Facebook pada Selasa.

Menerusi info grafik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu menunjukkan selain Selangor empat negeri mencatatkan pertumbuhan ekonomi melebihi nasional pada tahun lalu.

Negeri terbabit ialah Pulau Pinang (13.1 peratus), Pahang (10.8 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (9.2 peratus).

Enam negeri termasuk Selangor pula menyumbang 72.9 peratus kepada KDNKK nasional.

Selain Selangor lima negeri lain ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15.9 peratus), Johor (9.4 peratus), Sarawak (9.3 peratus), Pulau Pinang (7.4 peratus) dan Sabah (5.4 peratus).