Ranking Zii Jia terus jatuh

Zii Jia ketika ini menghuni tangga ke-14 dunia. - Foto bernama
Zii Jia ketika ini menghuni tangga ke-14 dunia. - Foto bernama
A
A
A

KEDUDUKAN jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terus goyah apabila ranking dunianya jatuh satu anak tangga dalam kemas kini terbaharu dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa.

Zii Jia, yang mengambil keputusan berehat seketika susulan prestasi mengecewakan sejak akhir ini, menghuni kedudukan ke-14 dengan 54,476 mata, jauh ditinggalkan juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dengan 103,005 mata di kedudukan tertinggi ranking BWF tersebut.

Sementara itu, kejayaan bergelar juara Terbuka Taiwan 2023, Ahad lepas, membantu beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melonjak empat anak tangga dari kedudukan ke-19 untuk berada di ranking ke-14 dengan mengutip 54,888 mata.

Pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie merupakan satu-satunya wakil negara dalam kedudukan 10 teratas selepas kekal di tangga ketujuh (62,984 mata) dalam ranking dikuasai jaguh China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong (116,906 mata).

Nasib berbeza pula dialami beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila mereka tidak berganjak dari kedudukan ke-23 (43,160 mata), biarpun mempertahankan gelaran Terbuka Taiwan 2023 dengan menumpaskan pasangan tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 20-22, 21-17, 21-14.

Dua beregu lelaki negara iaitu juara bertahan dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di kedudukan keempat (81,794 mata) dan gandingan profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di ranking keenam (71,250 mata) manakala pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto tidak dicabar di tempat teratas (94,379 mata).

Kategori beregu wanita pula menyaksikan naib juara Masters Malaysia 2023, Pearly Tan-M. Thinaah kekal di kedudukan ke-12 (65,821 mata) dan pasangan China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan masih unggul di ranking pertama (100,654 mata).

Bekas juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei pula terkeluar daripada kedudukan 30 perseorangan wanita terbaik dunia selepas jatuh empat anak tangga di ranking ke-34 (34,683 mata) dan pemain Jepun, Akane Yamaguchi kekal di puncak dengan 103,717 mata. - Bernama