PN tawar lebih banyak inisiatif jika menang PRN Selangor

Mohamed Azmin ketika berucap semasa Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Shah Alam di Seksyen 18, pada malam Isnin.
Mohamed Azmin ketika berucap semasa Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Shah Alam di Seksyen 18, pada malam Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) berikrar memperkenalkan lebih banyak inisiatif rakyat sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gabungan parti itu mempunyai kewibawaan membawa Selangor pada landasan lebih baik bagi meningkatkan taraf hidup rakyat berbanding kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Malah, katanya, rata-rata pemimpin PN termasuk beliau sendiri selaku bekas Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang ketika itu Exco negeri telah merangka pelbagai inisiatif membantu rakyat.

"Kami ada pengalaman (mentadbir) di negeri ini contohnya dulu di Selangor apabila meninggal dunia sahaja, waris akan menerima RM2,500.

"Semua agama dapat tak kira (waris penerima) Melayu, Cina dan India bagi meringankan kesedihan dan kesusahan keluarga," katanya ketika berucap semasa Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Shah Alam di Seksyen 18. di sini pada malam Isnin.

Jelas beliau, pelbagai pihak tertarik dengan tawaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang diperkenalkan kerajaan Selangor pada masa itu.

"Ada orang Johor hubungi saya bertanya adakah betul jika berlaku kematian di Selangor mereka layak mendapat RM2,500.

"Saya beritahu betul, maka berduyun-duyun orang datang ke Selangor bukan hendak mati, tetapi hendak melihat (keberkesanan) skim itu," jelas beliau.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menjelaskan, skim itu tidak lagi dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini.

Tambahnya, semasa pentadbiran beliau juga turut diberikan pengecualian cukai taksiran bagi kediaman kos rendah, kampung tradisi, bagan dan kampung baru.

"Minggu lepas kerajaan Persekutuan baru mengumumkan cukai taksiran untuk rumah kos sederhana (mampu milik) turun kepada 25 peratus.

"Kita dah buat lama, kami dulu bukan beri 25 peratus, tetapi 100 peratus potongan cukai taksiran termasuk kepada penjaja tepi jalan tidak perlu membayar lesen perniagaan pada ketika itu," ujarnya.

Beliau memberitahu, kerajaan di bawah pentadbiran beliau juga sebelum ini melaksanakan pemberian rawatan melalui skim peduli sihat.

Katanya, sebanyak RM125 juta diperuntukkan bagi skim itu dengan setiap anak negeri boleh membuat pemeriksaan di 1,000 klinik kesihatan swasta.

"Menteri Kesihatan baru umum skim perubatan madani beri RM250 sebulan kepada rakyat, tetapi kita dulu beri RM700 kepada rakyat," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, rakyat di negeri ini diharap bijak membuat keputusan untuk memberi peluang kepada PN mengambil alih pentadbiran kerajaan Selangor.

"Kami tekad untuk membina Selangor baharu dalam PRN ini dan akan menjelajah ke 56 DUN di Selangor kerana nampak persepsi dan dukungan rakyat cukup baik bagi menyokong PN," tambah beliau.