Karakter TMJ jadi panduan Pemuda Pas

Khairil (tengah) memakai baju baharu Dewan Pemuda Pas Johor sebagai gimik pelancaran Muktamar Tahunan Kali Ke-47 Dewan Pemuda Pas Negeri Johor, di LC Catering di sini hari ini
Khairil (tengah) memakai baju baharu Dewan Pemuda Pas Johor sebagai gimik pelancaran Muktamar Tahunan Kali Ke-47 Dewan Pemuda Pas Negeri Johor, di LC Catering di sini hari ini
A
A
A

JOHOR BAHRU - Karakter Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa lantang dalam mempertahankan rakyatnya akan menjadi panduan dalam usaha memperkasakan Pemuda Pas.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, Tunku Ismail yang bukan asing lagi bagi rakyat di Johor adalah pemimpin yang bagus selain mempunyai cara tersendiri dalam menyatukan masyarakat.

"Dalam demokrasi, negara kita juga didokong dengan institusi raja berpelembagaan. Pihak ini bukan sekadar ketua negara, malah tonggak kepada agama Islam. Di sini kita melihat Tunku Ismail memainkan peranannya dengan baik serta mampu menyatukan rakyat.

"Apa yang Tunku Ismail buat adalah selari dengan apa yang Pas mahu bawa menerusi Gagasan Sejahtera, maknanya gaya pemikiran Tunku Ismail ini diterima dan juga adalah pemikiran yang sama dengan parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas menghadiri Muktamar Tahunan Kali ke-47 Dewan Pemuda Pas Negeri Johor di LC Catering di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda Pas Johor, Jawahir Amin.

Khairil Nizam berkata, jika diberikan ruang, pihaknya juga telah mempunyai pendirian teguh untuk memberikan kerjasama yang baik bersama kerabat diraja berkenaan.

"Saya yakin Tunku Ismail mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat negeri ini, bagi Pemuda Pas pula saya berharap kerjasama baik, mungkin Tunku Ismail boleh dijadikan model mengenal pemikiran rakyat negeri ini, sebab Johor ini lain sedikit.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga berharap hubungan baik daripada Pas dan parti pembangkang lain dapat dijalinkan bersama Tunku Ismail," katanya.

Sementara itu, Jawahir berkata, muktamar pada tahun ini tidak akan menyaksikan sebarang perubahan bagi jawatankuasa tertinggi Pemuda Pas Johor.

"Untuk pemilihan tahun ini, semuanya berjalan dengan lancar baik dan pemilihan peringkat tertinggi juga telah ada keputusan yang mana tiada pertandingan dibuat.

"Kita cuma fokus kepada ahli jawatankuasa dan exco negeri," katanya.