Aidiladha: PLUS aktifkan laluan SmartLane di 5 lokasi kritikal

PLUS mengaktifkan laluan SmartLane di lima lokasi kritikal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas menjelang cuti perayaan Aidiladha.
PLUS mengaktifkan laluan SmartLane di lima lokasi kritikal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas menjelang cuti perayaan Aidiladha.
A
A
A

SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengaktifkan laluan SmartLane di lima lokasi kritikal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas menjelang cuti perayaan Aidiladha.

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, pertembungan trafik dan keadaan laluan sedikit mendaki menyumbang kepada peningkatan trafik yang tinggi serta pergerakan kenderaan perlahan di lokasi terlibat.

Menurutnya, SmartLane akan diaktifkan di laluan antara Persimpangan Port Dickson hingga persimpangan Seremban (KM260.0 hingga KM263.1-arah utara), persimpangan Senai Utara hingga persimpangan Kulai (KM19.0 hingga KM27.0-arah utara)

Selain itu, tambahnya, laluan Gua Tempurung-Gopeng (KM306.7 hingga KM297.0-arah utara), laluan Slim River-Sungkai (KM367.3 hingga KM354.1-arah utara) dan Kawasan Rehat & Rawat Rawang-Sungai Buaya (KM439.9-KM435.5-arah utara).

“Setiap lokasi ini, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama bagi meneruskan perjalanan mereka.

“Namun, pengguna dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan.

“PLUS menjangkakan dua juta kenderaan akan berada di lebuh raya kendalian PLUS terutamanya pada hari puncak iaitu 28 Jun dan 1 Julai dengan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding 1.7 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Yusof berkata, pengaktifan laluan SmartLane juga turut mendapat sokongan dan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Ujarnya, PLUS turut proaktif membuat persediaan lain untuk menguruskan lonjakan trafik melalui pelbagai pendekatan bagi membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya.

“Pandulah dengan selamat dan patuhi had laju di lebuh raya, pastikan kenderaan telah diselenggara dan berada dalam keadaan baik, elakkan memandu ketika letih sebaiknya berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang lebuh raya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Aidiladha: Lebih sejuta kenderaan dijangka guna KLK bermula Selasa